GEORGE TOWN – Dua atlet negeri yang bakal mewakili negara ke kejohanan Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 masing-masing menerima RM10,000 Insentif Galakan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Menerusi sesi telesidang, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sendiri menyampaikan cek replika insentif tersebut kepada Chan Peng Soon (atlet sukan badminton) dan Jeremiah Loo Phay Xing (atlet sukan artistik gimnastik) sebentar tadi.

Turut serta, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Semasa berucap, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa pentadbirannya berharap insentif yang diberikan bakal mendorong kedua-dua atlet berkenaan meraih kejayaan dalam kejohanan berprestij berkenaan.

“Ini, suatu Olimpik luar biasa yang mana (30 atlet yang mewakili negara Malaysia) akan beraksi tanpa penonton.

“Saya harap keadaan yang luar biasa ini tidak akan mempengaruhi prestasi para atlet (negara) kita, kita harap mereka akan fokus walaupun tiada penonton (di arena).

“Ingatlah bahawa rakyat Malaysia dan negeri Pulau Pinang akan terus memberi sokongan kepada anda untuk mencapai prestasi terbaik,” serunya pada telesidang yang diadakan dekat Komtar di sini pada 12 Julai 2021.

Di samping itu, Kon Yeow berharap dengan penyertaan kedua-dua atlet negeri berkenaan, ia bakal memperlihatkan satu lagi usaha memperkasakan peranan serta bakat modal insan dalam menjayakan Visi Penang2030.

Peng Soon yang berucap selepas itu merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri hari ini dalam memberi sokongan serta galakan kepada para atlet dari Pulau Pinang.

“Saya ingat sudah tiga kali saya ‘main’ Olimpik, terima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana terus memberi insentif sehingga kini.

“Pemberian insentif seumpama ini, bagi semua atlet negeri, merupakan suatu pembakar semangat,” jelasnya.

Nada sama turut dizahirkan oleh Phay Xing.

“Terima kasih kerana mengadakan sesi telesidang ini, terima kasih kepada YB Soon Lip Chee (Lip Chee) dan YAB Chow Kon Yeow (Kon Yeow) serta Kerajaan Negeri yang begitu memberi sokongan kepada barisan atlet.

“Saya berasa begitu berterima kasih dan bangga dengan pemberian insentif galakan ini,” ujarnya.

Source: Buletin Mutiara