BALIK PULAU 05 SEPTEMBER 2022. Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (tengah) bergambar kenangan bersama atlet-atlet kontinjen Pulau Pinang pada majlis Penyerahan Bendera Negeri Pulau Pinang Kepada Kontinjen Negeri Pulau Pinang Ke Sukan Malaysia (SUKMA) XX, MSN 2022 di Kem White Resort, Balik Pulau. Turut bersama Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua. NSTP/MIKAIL ONG
BALIK PULAU: Kontinjen Pulau Pinang menyasarkan 26 pingat emas, 20 pingat perak dan 44 gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 di sekitar Lembah Klang pada 16 hingga 24 September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee berkata sasaran itu sedikit berkurangan berbanding 32 emas yang diperoleh pada SUKMA 2018 susulan pengguguran beberapa kategori acara sukan.
“Misalnya untuk badminton cuma ada acara perseorangan manakala kategori berkumpulan tidak dipertandingkan. Antara sukan berpotensi yang menyumbangkan pingat emas ialah karate, silat, judo, memanah, sepak takraw serta gimnastik.
“Pada SUKMA 2018 kita mendapat tempat keenam secara keseluruhan dan tahun ini kita berharap dapat memperbaiki kedudukan pada tahap yang lebih baik,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan bendera kepada kontinjen Pulau Pinang SUKMA XX MSN 2022 di Kem White Resort yang disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Lip Chee berkata Pulau Pinang akan mengambil bahagian dalam semua 31 jenis sukan yang dipertandingkan menerusi pembabitkan seramai 488 atlet, 102 jurulatih dan 43 pengurus sukan.
“Secara keseluruhan jumlah kekuatan Kontinjen Pulau Pinang ialah seramai 761 orang termasuk urusetia, sekretariat Majlis Sukan Negeri (MSN) Pulau Pinang, pegawai sains sukan, petugas media dan lain-lain pegawai yang terbabit secara langsung,” katanya.
Sementara itu, Kon Yeow yakin sasaran yang ditetapkan adalah realistik berdasarkan pertimbangan prestasi atlet negeri dengan mengambil kira faktor pencapaian serta kedudukan rangking terkini atlet atau pasukan masing-masing.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan meneruskan pemberian Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Pulau Pinang (SKIMAS) yang antaranya menawarkan ganjaran wang tunai sebanyak RM4,000 bagi acara individu manakala acara beregu (RM2,000), berpasukan lima individu ke bawah (RM1,200) dan berpasukan enam individu ke atas (RM700) untuk setiap seorang pemenang pingat emas.
“Bagi mereka yang berjaya mencatatkan rekod kebangsaan insentif sebanyak RM1,000 juga diperuntukkan manakala RM500 akan diberikan kepada mereka yang mencatatkan rekod SUKMA,” katanya.