Perutusan Ketua Menteri Pulau Pinang

YAB Tuan Chow Kon Yeow

Bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada MMK Belia dan Sukan Pulau Pinang atas penerbitan Buletin Sukan Untuk Semua (Sports For All) buat julung kalinya ini.

Selaras dengan hasrat dan matlamat Visi Penang 2030. Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, saya yakin edaran cetakan buletin yang padat dengan aktiviti dan informasi ini akan menjadi bahan bacaan dan rujukan yang sesuai dan terbaik kepada komuniti dan rakyat di Pulau Pinang.

Sejak dilancarkan inisiatif Sukan Untuk Semua sekitar awal tahun 2019, Kerajaan Negeri komited untuk membudayakan dan mempelbagaikan sukan ke arah kesejahteraan rakyat. Sebanyak 12 jenis sukan telah digerakkan sebagai platform untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dengan penganjuran 1 sukan pada setiap bulan.

Dalam kesempatan ini, saya ingin menyeru kepada rakyat Pulau Pinang untuk sama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti sukan yang ada ini. Sumbangan sukan sebagai medium penyatuan dalam mengeratkan keharmonian dan perpaduan, pentas bertukar idea dan pembentukan emosi, jasmani dan intelek adalah penting dalam melahirkan keluarga dan komuniti yang sihat dan cergas demi pembangunan dan perkembangan yang gemilang pada masa hadapan. Majulah Sukan Untuk Pulau Pinang!

Sekian, terima kasih.​