Selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membina landasan kerjaya yang progresif dan cerah untuk atlet negeri Pulau Pinang, sukacita diumumkan bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang akan melancarkan program Penang Junior Coaches atau singkatannya PJC.

Objektif Penang Junior Coaches ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kerjaya kepada atlet dan bekas atlet negeri untuk menjadi jurulatih muda atau “Junior Coach” di bawah program pembangunan atlet Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang.

Di samping itu, melalui program PJC ini, hasratnya adalah juga untuk memperluaskan lagi jumlah jurulatih muda negeri yang berkualiti yang akan memberi impak positif kepada perkembangan sukan di negeri Pulau Pinang.

Program PJC ini akan bermula dengan peringkat Fasa 1, di mana ianya akan melibatkan 10 jenis sukan yang meliputi sukan Badminton, Bola Jaring, Bola Keranjang, Hoki, Olahraga, Petanque, Sepaktakraw, Silambam, Silat dan Tinju.

Permohonan untuk mendaftar bagi program ini adalah terbuka kepada semua atlet dan bekas atlet negeri Pulau Pinang yang berumur 18 – 25 tahun dan menetap di negeri Pulau Pinang yang berminat untuk menjadi jurulatih muda. Untuk memastikan tahap teknikal mereka adalah pada suatu tahap yang tinggi, kelayakan asas mereka adalah berdasarkan pengalaman sebagai atlet negeri di kejohanan peringkat kebangsaan atau setaraf dengannya.

Kejohanan-kejohanan kebangsaan adalah termasuk:

  1. Kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan atau
  2. Kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan/diiktiraf oleh Majlis Sukan Negara atau
  3. Kejohanan peringkat kebangsaan yang diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia atau
  4. Kejohanan peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Negeri yang diiktiraf oleh Persatuan Sukan Kebangsaan atau
  5. Kejohanan terbuka peringkat kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Negeri dan diiktiraf oleh Persatuan Sukan Kebangsaan atau
  6. Liga-liga kebangsaan yang dianjurkan oleh Persatuan Sukan Kebangsaan

Melalui pelancaran program ini, Kerajaan Negeri berharap ia dapat membantu atlet dan bekas atlet negeri Pulau Pinang untuk memulakan kerjaya mereka dalam bidang kejurulatihan sebagai satu landasan kerjaya.

Bagi mereka yang berminat dan berkelayakan, anda boleh merujuk kepada maklumat, syarat-syarat serta membuat pendaftaran di SINI mulai 12 Ogos 2021 sehingga 23 Ogos 2021.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pejabat Unit Kejurulatihan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang di talian 04-6593713/14/15 atau berhubung melalui email [email protected].