Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mewujudkan program Penang Athlete Career Education (PACE) untuk membantu atlet-atlet di negeri ini membina masa depan yang lebih cerah.

Justeru, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa pendidikan dan kebajikan atlet merupakan aspek yang sentiasa diberikan keutamaan di bawah program tersebut.

“Kerajaan Negeri mahu masa depan yang lebih cerah bagi atlet-atlet di negeri ini sekali gus dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap bidang sukan sebagai satu kerjaya.

“Sebagai contoh, ramai dalam kalangan ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak mereka menjadi atlet kerana bimbang pelajaran mereka akan terjejas.

“Selain itu, ramai juga ibu bapa yang merasakan bahawa bidang sukan tidak dapat membantu anak-anak mereka pergi lebih jauh terutamanya selepas kerjaya sukan mereka berakhir.

“Itulah sebabnya mengapa Kerajaan Negeri mengambil serius mengenai perkara ini dan mewujudkan program PACE sebagai pendorong kepada atlet untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya semasa sesi interaksi bersama-sama penerima PACE yang diadakan secara maya pada 12 Jun baru-baru ini.

Sesi yang berlangsung kira-kira satu setengah jam itu dianjurkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) dan turut menampilkan beberapa atlet antaranya dari sukan floorball, hoki dan sepak takraw.

Sesi tersebut turut menampilkan Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan beberapa wakil syarikat penaja bagi program PACE.

Mengulas lanjut, Lip Chee menjelaskan bahawa PACE secara umunya ditubuhkan adalah khusus untuk menyediakan platform pendidikan dan peluang pekerjaan kepada para atlet di negeri ini.

“Saya berpandangan bahawa keperluan membina sebuah program khas seperti ini berupaya menjadi platform kepada kemajuan atlet dalam bidang pendidikan terutamanya selepas mereka tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Melalui program seperti ini, para atlet berpeluang untuk menyambung pelajaran ke peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mendapatkan segulung ijazah atau sarjana yang amat penting dalam era globalisasi ini.

“Kerajaan Negeri akan memberikan bantuan dan atlet pula hanya perlu berusaha supaya mendapat keputusan cemerlang bagi membolehkan bantuan kewangan ini disambung setiap semester sehingga tamat pengajian diploma atau ijazah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, penerima-penerima biasiswa dan insentif PACE yang mengambil bahagian dalam sesi interaksi tersebut turut mengambil peluang menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas peluang yang diberikan kepada mereka.

Source: Buletin Mutiara