Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

SOON Lip Chee menunjukkan senarai semak dari pejabat beliau yang boleh membantu penganjur memenuhi kriteria PSM. 

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee hari ini mengesahkan penganjuran  PAAA Annual Round The Island Relay oleh Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang (PAAA) tidak mengemukakan surat maklum balas kepada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM)

Susulan kejadian itu, Lip Chee berkata, pejabatnya telah menghubungi PSM pagi ini bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara tersebut.

“Setiap badan sukan seperti PAAA perlu menghantar surat kepada PSM, kemudian PSM akan keluarkan surat kepada pihak berkenaan untuk penyelarasan.

“Contohnya kalau PAAA nak anjurkan program, seharusnya sebulan sebelum itu mereka kena hantar satu surat permohonan untuk mendapat kebenaran dari PSM terlebih dahulu.

“Memang di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997, Seksyen 4, semua persatuan, agensi atau badan yang terlibat dalam sukan hendaklah berunding dan menyelaras dengan kementerian berhubung apa-apa perkara sukan yang telah ditetapkan dalam peraturan,” jelas beliau dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Kelmarin, ketika acara sedang berlangsung kira-kira jam 4:00 pagi, dua peserta Cheah Ting Cong, 16, dan pengiring, Lee Foo Beng, 51, telah mengalami kecederaan akibat dilanggar sebuah kereta dalam kejadian yang berlaku berhampiran sebuah kilang dekat Bayan Lepas.

Mengulas lanjut, walau bagaimanapun, Lip Chee memberitahu badan tersebut ada mengemukakan sepucuk surat melalui emel pada 10 Oktober lalu kepada pejabat beliau.

Katanya, surat itu bertujuan memohon pengiktirafan dan sokongan untuk penganjuran tersebut.

“Tetapi saya dapati dokumen yang dihantar itu tidak begitu lengkap.

“Sekiranya sesebuah badan yang ingin menganjurkan apa-apa acara sukan, kami sedia membantu menyediakan dokumen serta keperluan lain agar semuanya selari dengan kehendak PSM,” ujarnya sambil menjelaskan sebarang tindakan ke atas PAAA adalah di dalam bidang kuasa PSM.

Source: Buletin Mutiara

https://www.buletinmutiara.com/paaa-tidak-kemuka-surat-maklum-balas-kepada-pesuruhjaya-sukan-malaysia-lip-chee/?fbclid=IwAR16vL-B3m6qLnUODKLD-jVWJC95Ugigq1-iy2uLQUciu0302vy4HPqrezk