Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang di bawah program Penang Athelete Career Education (PACE).

MoU ditandatangani oleh Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan Timbalan Rektor UiTM Pulau Pinang (Bahagian Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Prof. Madya Dr. Ahmad Rashidy Razali serta disaksikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar dan Rektor UiTM, Prof. Dr. Salmiah Kasolang.

Dalam ucapan beliau sebelum itu, Abdul Razak Jaafar berkata bahawa jalinan kerjasama itu adalah bertujuan menyediakan laluan khas kepada para atlet di negeri ini yang berhasrat untuk menyambung pengajian melalui program Pra Pendidikan Tinggi (PPT) di UiTM.

Beliau berkata, di samping aktiviti ekonomi dan juga pembangunan, bidang sukan juga merupakan keutamaan Kerajaan Negeri.

“PACE merupakan platform nilai tambah yang menyokong hasrat dalam melahirkan atlet berprestasi tinggi dan berdaya saing dalam sukan mahupun akademik serta membina laluan kerjaya yang baik kepada para atlet.

“Jadi, besar harapan saya agar MoU yang dimeterai pada hari ini akan menjadi penanda mula kepada usahasama yang akan memberikan manfaat kepada para atlet kelak.

“(Dan) melalui kerjasama ini juga, ia mampu membuka peluang kepada atlet untuk terus mengorak langkah mengharumkan nama negeri dan negara ke peringkat lebih tinggi,” katanya dalam ucapan sebelum menandatangani MoU tersebut dekat Komtar di sini pada 30 Mac 2021.

Turut serta, Timbalan Rektor (Bahagian Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Pulau Pinang, Ts. Dr. Mohd. Rozaiman Aziz.

Dalam pada itu, Salmiah pada sidang media sejurus menandatangani MoU berkata bahawa melalui program PPT, MSNPP tidak perlu mengeluarkan peruntukan yang banyak bagi membantu atlet menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Hal ini demikian kerana kita sudah ada peruntukan khas untuk program PPT daripada Kerajaan Persekutuan untuk membantu para atlet termasuk bekas atlet dan atlet paralimpik selain golongan kurang berkemampuan (B40),” ujarnya lagi.

Pada sidang media sama, Ketua Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet MSN, Joherman Amir berkata atlet memerlukan sekurang-kurangnya tiga kredit daripada keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk diterima mengikuti pengajian di UiTM.

Beliau berkata, atlet akan diberi masa enam bulan untuk menghabiskan pengajian di peringkat sijil sebelum ditawarkan pengajian peringkat diploma sekiranya keputusan peperiksaan adalah memberangsangkan.

“Melihat masalah keciciran akademik dan kelangsungan hidup yang tidak dicapai oleh bekas atlet di negara ini, kita mahu pastikan bahawa masalah ini tidak lagi timbul dalam masa lima atau 10 tahun akan datang.

“Kita mahu atlet mempunyai latar belakang pengajian yang bukan sahaja boleh mendatangkan manfaat kepadanya sebaliknya dapat membantu orang lain,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Harry Chai menjelaskan bahawa pemeteraian MoU tersebut membolehkan MSNPP menggunakan kemahiran daripada pihak UiTM untuk memimpin atlet-atlet negeri Pulau Pinang dalam bidang pendidikan.

“(Dan) pada masa sama MSNPP juga akan berkongsi segala input berkaitan dengan pembangunan sukan dengan tenaga UiTM terutamanya dalam bidang Sains Sukan,” katanya.

Source: Buletin Mutiara