
Program Sukan Untuk Semua: Klinik Mendaki merupakan program mendaki yang julung kalinya diadakan di negeri Pulau Pinang melalui inisiatif Program Sukan Untuk Semua. Klinik tersebut telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan yang amat memberangsangkan iaitu seramai 85 orang peserta pada 24 April 2021 bertempat di Project Rock, IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang. Program ini merupakan satu usaha kerjasama antara Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dengan Persatuan Mendaki Negeri Pulau Pinang dalam usaha untuk memberikan kesedaran serta peluang kepada masyarakat negeri Pulau Pinang untuk mencuba sukan yang baru ini. Dalam klinik pengenalan sukan asas tersebut, peserta diberi pendedahan tentang kemahiran mendaki, langkah-langkah keselamatan mendaki, kaedah memakai peralatan mendaki dan sebagainya.
Aktiviti mendaki tembok tiruan atau dikenali sebagai ‘indoor wall climbing’ sememangnya bukan sesuatu yang baru dalam kalangan peminat aktiviti ekstrem tempatan. Sukan mendaki merupakan antara salah satu sukan baru yang telah diiktiraf untuk dipertandingkan dalam Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun.
Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang bersama Yang Berhormat Goh Choon Aik, ADUN Bukit Tambun dan turut dihadiri oleh Encik Harry Chai Heng Hua, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Encik Edward Lim Chen Tee, Presiden Persatuan Mendaki Negeri Pulau Pinang.
Tarikh: 24 April 2021
Tempat: Project Rock, IKEA Batu Kawan