(Sesi 1)

Program Sukan Untuk Semua: Klinik Badminton 2021 ini merupakan klinik badminton yang pertama yang telah diadakan pada 11 April 2021 bertempat di Dewan Badminton Kompleks Sukan Titi Mukim, Penaga. Program ini telah berlangsung dengan lancar dan jayanya dengan penyertaan seramai 63 orang peserta yang terdiri dari bakat-bakat muda negeri Pulau Pinang yang berumur 15 tahun ke bawah. 

Program ini merupakan satu usaha kerjasama antara Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Akademi Badminton Lee K.S. Program Sukan Untuk Semua dan ianya merupakan idea dan inisiatif yang dimulakan oleh MMK Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang di bawah pimpinan YB. Soon Lip Chee. Selain untuk memupuk kesedaran di kalangan masyarakat untuk terus aktif, Program Sukan Untuk Semua juga bermotif untuk menarik perhatian individu dan masyarakat untuk berpeluang mencuba sukan yang dianjurkan dan menikmati kegembiraan tidak kira umur, bangsa dan agama.

Seperti kebanyakan permainan yang terdapat pada hari ini, badminton juga mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Pada tahun 1934, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah ditubuhkan dan sejak itu, sukan badminton telah mula berkembang pesat di Malaysia dan badminton telah menjadi acara rasmi dalam sukan Olimpik pada tahun 1992. Sejak itu juga, BAM telah berjaya melahirkan beberapa jaguh dalam beberapa dekad ini dan pelbagai pengiktirafan dan kejayaan turut dicapai oleh badan induk itu dengan memenangi beberapa kejohanan besar seperti Piala Thomas dan All England. Antara jaguh-jaguh badminton yang pernah dilahirkan adalah seperti Datuk Misbun Sidek, Dato’ Wira Lee Chong Wei, Hafiz Hashim dan ramai lagi. 

Dalam Klinik Badminton ini, peserta dapat mempelajari teknik asas badminton seperti teknik memegang raket, posisi dan kedudukan badan, cara dan jenis servis, serta teknik gerakan yang betul. Teknik asas ini adalah salah satu kemahiran yang perlu ada dalam setiap individu untuk menjadi seorang pemain badminton yang bagus dan mahir.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Encik Harry Chai Heng Hua, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta Pengasas Akademi Badminton Lee K.S iaitu Encik Lee Kok Siong.

Tarikh: 11 April 2021

Tempat: Dewan Badminton Kompleks Sukan Titi Mukim, Penaga

(Sesi 2)

Program Sukan Untuk Semua: Klinik Badminton 2021 ini merupakan klinik badminton kedua yang telah diadakan pada 18 April 2021 bertempat di Dewan Badminton Sri Bagan Jermal, Butterworth. Program ini telah berlangsung dengan jayanya dengan penyertaan seramai 54 orang peserta yang terdiri daripada anak-anak muda negeri Pulau Pinang yang berumur 15 tahun ke bawah. Program ini merupakan kesinambungan usaha kerjasama antara Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Akademi Badminton Lee K.S. Program Sukan Untuk Semua. 

Sama seperti Klinik Badminton pertama yang telah diadakan pada 11 April 2021 di Dewan Badminton Kompleks Sukan Titi Mukim, peserta telah diberikan tunjuk ajar dan pendedahan mengenai cara-cara untuk bermain sukan badminton dengan betul. Klinik pengenalan ini menjurus kepada pembelajaran teknik asas khususnya cara memegang raket, cara dan jenis servis, teknik gerakan, posisi dan kedudukan badan serta gerakkan kaki. Pendedahan kemahiran ini adalah penting untuk memastikan bakat-bakat muda mempunyai asas yang betul dan kukuh.

Program ini telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Soon Lip Chee, EXCO Belia dan Sukan Negeri Pulau Pinang dan turut dihadiri oleh Encik Harry Chai Heng Hua, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang serta Pengasas Akademi Badminton Lee K.S iaitu Encik Lee Kok Siong.

Tarikh: 18 April 2021

Tempat: Dewan Badminton Sri Bagan Jermal, Butterworth