Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

SOON LIp Chee (empat darik kanan, duduk) mengambil kesempatan bergambar bersama atlet-atlet SUKMA dalam satu sesi ‘Ice Breaking’ dekat Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Balik Pulau baru-baru ini.

PULAU BETONG – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menggariskan empat perkara utama kepada para atlet Pulau Pinang yang akan ke Sukan Malaysia (SUKMA) Perak dengan membawa cabaran negeri ke temasya dwi tahunan tersebut.

Empat perkara tersebut menurut Lip Chee ialah ketenangan, keinginan, keyakinan dan kekuatan dalam mengharungi cabaran.

“Para atlet perlu ada semangat dan disiplin yang kuat dalam diri masing-masing… keinginan juga amat penting iaitu (keinginan) untuk berjaya dalam membawa cabaran dalam apa jua acara yang kita bertanding kerana dari keinginan akan datangnya usaha gigih.

“Untuk dapatkan keinginan para atlet perlu yakin terhadap kemampuan diri sendiri dan juga pasukan untuk membawa pulang kejayaan.

“Tidak lupa juga kekuatan sama ada dari segi fizikal mahupun mental. tidak kira sama ada anda sedang ketiggalan, anda perlu kuat untuk melawan dan contoh ini telah ditunjukkan oleh skuad Sepak Takraw kita (Malaysia) di Sukan Asia Jakarta Palembang baru-baru ini…. mereka telah berjaya mengatasi Indonesia pada aksi final dan membawa pulang emas untuk negara kita (dalam acara regu) akhirnya,” ujar beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Bagan Jermal baru-baru ini.

Lip Chee memberikan kata-kata semangat tersebut ketika berucap dihadapan kira-kira 415 atlet SUKMA Pulau Pinang dekat Kem Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) White Resort, Balik Pulau baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; Pegawai Daerah bagi Daerah Barat Daya, Zepri Saad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Frederick Tan Teck An.

Lip Chee dalam pada itu turut mengambil contoh legenda peninju dunia, Muhamad Ali yang sering menegaskan ‘biar menderita semasa latihan asalkan dapat hidup sebagai seorang juara’ di masa hadapan.

“Saya percaya atlet yang berkumpul petang ni ada matlamat, cita-cita dan sasaran tersendiri selain sukan, namun buat masa sekarang anda mesti ada matlamat (juara) sebab telah dipilih wakili Pulau Pinang dan mesti mempunyai sasaran capai satu keputusan yang bagus.

“Walaupun bertanding di Perak sasaran Pulau Pinang bukanlah perak (pingat) sebaliknya pingat emas sebanyak mungkin,” tegas beliau yang juga ADUN Bagan Lalang.

SUKMA Perak dijadualkan membuka tirai pada 8 September ini. 

Source: Buletin Mutiara

https://www.buletinmutiara.com/kita-ke-sukma-perak-bukan-untuk-perak-tetapi-untuk-pingat-emas-exco/?fbclid=IwAR0O6C0bsXhePFIG4yDjGvaiSfRapok1M_xHa6fjBz4agoCc35j3wSNGfpY