Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa mengalu-alukan sebarang inisiatif yang dapat meningkatkan serta memperkasakan sektor sukan termasuk memupuk tabiat bersenam dalam kalangan masyarakat di negeri ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata demikian semasa merasmikan Kejohanan Sepak Takraw Bakat Baru Piala Ahli Majlis MBSP anjuran Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Fahmi Zainol bersama-sama Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dekat Gelanggang Akira di sini pada 11 April lalu.

“Selaku Exco Belia dan Sukan Pulau Pinang, saya ingin merakamkan ucapan taniah dan syabas kepada Ahli Majlis MBSP, Fahmi Zainol serta pihak PYDC kerana berjaya menganjurkan program ini.

“Program ini adalah amat istimewa kerana ia akan memberikan peluang kepada semua peminat sukan, terutamanya pemain-pemain sepak takraw untuk menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan ini.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kita amat mengalu-alukan inisiatif yang boleh meraikan sektor sukan dan memupuk tabiat bersenam dalam kalangan komuniti kita.

“Justeru, kita berharap lebih banyak lagi program sukan seumpama ini akan dianjurkan oleh pihak pihak-pihak berkaitan pada masa yang akan datang,” ujarnya.

Difahamkan, selain kejohanan sepak takraw turut dianjurkan pada program tersebut adalah pelancaran logo “Umur 18 Jadi Calon”.

Mengulas mengenai perkara itu, Lip Chee berkata pelancaran logo tersebut adalah bertujuan menarik perhatian dan meningkatkan kesedaran golongan belia tentang pelaksanaan pindaan umur calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

“Bagi tujuan menarik perhatian daripada orang awam tentang pindaan ini, beberapa program lagi akan dilaksanakan oleh pihak PYDC termasuk pertandingan penulisan lajur, program seni mural dan video promosi.

“Selain itu, pihak PYDC juga akan meletakkan kiosk-kiosk soal selidik di para kawansan ADUN Pulau Pinang untuk mengumpulkan pandangan masyarakat tentang pindaan yang berkaitan,” jelasnya.

Sejak tahun 2019, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PYDC mula menjalankan soal selidik untuk mengumpulkan pandangan daripada orang awam mengenai pelaksanaan pindaan umur calon wakil rakyat daripada 21 tahun kepada 18 tahun.

Source: Buletin Mutiara