Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

 BATU UBAN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee mengajak barisan atlet negeri Pulau Pinang untuk mencontohi semangat juang skuad Piala Thomas 1992 yang menjuarai kejohanan berprestij badminton tersebut.

Katanya, tanpa semangat juang yang tinggi, tidak mungkin skuad tersebut berjaya menundukkan kuasa besar badminton ketika itu, Indonesia menerusi kemenangan 3-2 di Stadium Negara, Kuala Lumpur.

“Saya berharap semangat skuad Piala Thomas 1992 dapat dicontohi oleh semua atlet pada hari ini untuk mengecapi kejayaan.

“Semangat tersebut juga menunjukkan satu tahap disiplin yang tinggi kepada setiap atlet terutamanya mengenai fokus, serius terhadap setiap mata pertandingan dan saya tahu itu bukan mudah,” jelasnya dalam satu Sesi Interaksi Bersama Penerima Insentif Pendidikan & Biasiswa Sukan Bagi Program PACE Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) melalui aplikasi Zoom semalam.

Turut serta, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua, para atlet penerima PACE dan para wakil syarikat penaja.

PACE merupakan singkatan kepada Penang Athlete Career Education yang dilancarkan pada 1 Ogos tahun lalu.

Di bawah program PACE terdapat tiga teras utama iaitu menyediakan platform pendidikan untuk memberi peluang kepada para atlet melanjutkan pelajaran ke menara gading; membina laluan kerjaya kepada atlet dan bekas atlet untuk diserap ke sektor awam ataupun swasta dan memastikan kebajikan para atlet terpelihara setiap masa.

Dalam pada itu Lip Chee memberitahu, untuk melihat perubahan yang dilakukan bukanlah dengan sekelip mata, mungkin memakan masa tiga hingga empat tahun paling awal.

“Sejak menjadi Exco untuk sukan, saya perkenalkan Sukan Untuk Semua atau Sports for All, program-program pelapis dan beberapa prospek olahraga.

“Selain itu saya sering mengingatkan kepada barisan atlet sebelum-sebelum ini, mereka perlu ada tiga K iaitu, keinginan, keyakinan dan ketabahan,

“Hari ini saya ingin tambah lagi dua K iaitu kekuatan dan kejayaan… saya percaya kalau semua atlet punyai ciri lima K ini maka anda boleh berada ditangga kejayaan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Source: Buletin Mutiara