BATU LANCANG – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berharap gimnasium tidak ditutup lagi selepas melalui tempoh berkenaan kira-kira empat bulan.

Katanya, melalui data dan sains serta prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pusat kecergasan itu dilihat mampu meneruskan operasi dengan risiko yang rendah berbanding tempat tumpuan yang lain.

“Saya harap Kerajaan Pusat melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) lihat perkara ini secara mendalam, lepas dibuka kita tidak mahu gimnasium ditutup lagi.

“Contohnya sebelum ini saya juga pernah bagi cadangan ia dibenarkan beroperasi 30 hingga 50 peratus sahaja, lagi pun kita tidak pernah dengar mengenai kluster gimnasium, yang selalu kita dengar adalah tempat kerja (kilang).

“Jadi sekiranya kes meningkat, namun kita tidak mahu itu terjadi, SOP pembukaan gimnasium bolehlah dikaji semula,” ujar beliau ketika melawat pengoperasian semula Gimnasium Seven Star di Batu Lancang semalam.

Hadir sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Harry Chai Heng Hua dan Pengurus Gimnasium Seven Star Batu Lancang, Ivan Too.

Tambahnya dalam situasi melawan pandemik COVID-19 adalah penting seseorang individu mempunyai antibodi yang kuat dan salah satu caranya adalah gengan bersenam.

Ivan Too ketika bercakap kepada pemberita memamklumkan operasi premis tersebut kini dihadkan kepada 50 peratus sahaja selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Sebelum ni 30 orang dalam satu masa, selepas dapat kebenaran kami cuma benarkan 15 orang sahaja.

“Daripada 100 orang selepas dibuka dianggarkan cuma 10 peratus yang hadir, mungkin masih ambil sikap tunggu dan lihat,” katanya.

Source: Buletin Mutiara