KUALA LUMPUR: Pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) 2016, Faiz Subri sah kembali memperkuat pasukan Penang FC (PFC) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkembangan itu diumumkan skuad Harimau Kumbang itu menerusi satu kenyataan di akaun Facebooknya, semalam.

“Ibarat sirih pulang ke gagang, Faiz Subri sah sebagai pemain Penang FC musim 2022. Faiz sah mengikat kontrak setahun bersama Penang FC bagi musim 2022,” kata pasukan itu.

Pemain itu yang hadir sebagai tetamu khas dalam program Klinik Bolasepak PFC menyerahkan surat terima tawaran sebagai pemain kepada Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah PFC, Soon Lip Chee di Kompleks Sukan Sony, Seberang Jaya.

Sebelum ini, pemain berusia 33 tahun itu pernah menyarung jersi Pulau Pinang bermula 2015 hingga 2019 sebelum menyertai pasukan Liga M3, Northern Lions Football Club (NLFC) pada 2020.

Ketika itu juga, dia ditawarkan jawatan sebagai pengarah teknikal teqball di Hungary namun tiada keputusan dibuat sehinggalah dia menyertai satu lagi pasukan M3, Kuala Kangsar FC pada Mac lalu.

Bagaimanapun, dia tidak sempat beraksi memandangkan saingan amatur itu terpaksa dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

Sebagai rekod, Faiz pernah mencipta sensasi tersendiri apabila muncul pemain Asia pertama menggondol Anugerah Puskas FIFA menerusi sepakan percuma ‘melanggar’ hukum fizik ketika berdepan Pahang pada 2016.

Pencapaian itu meletakkan dia sebaris dengan pemain ternama dunia yang pernah memenangi anugerah sama sebelum itu seperti James Rodriguez, Zlatan Ibrahimovic dan Neymar.

Sumber: Berita Harian