SEBERANG JAYA – Skuad Wanita Negeri muncul sebagai juara bagi Kejohanan Hoki Lantai Remaja Kebangsaan yang berlangsung selama empat hari mulai 1 sehingga 4 Ogos lalu dekat Safira Sport Planet, di sini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee semasa berucap pada majlis penutup kejohanan berkenaan berharap agar hoki lantai atau floorball turut dimasukkan serta dipertandingkan sebagai acara rasmi dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada masa akan datang.

“Sukan untuk semua bukan setakat bermaksud satu-satu sukan untuk semua sertai sahaja, bahkan termasuk semua arena sukan seperti tenis, bola sepak, bola tampar, catur, sukan elektrinik (e-sport) dan termasuk hoki lantai (floorball).

“Pada temasya SUKMA sebelum ini, kita belum melihat lagi hoki lantai sebagai salah satu acara yang dipertandingkan.

“Justeru, kita berharap agar suatu hari nanti hoki lantai turut menjadi sebahagian daripada acara sukan yang dipertandingkan dalam SUKMA,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pihak persatuan-persatuan hoki lantai negeri dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Selangor yang turut menghantar pasukan untuk bertanding pada kejohanan yang julung kalinya diadakan di negeri ini.

Difahamkan, walaupun acara hoki lantai dianggap masih baharu di negara ini tetapi sukan berkenaan telah berkembang secara meluas di beberapa negara lain seperti Denmark, Finland, Kanada, Jerman, Republik Czech dan banyak lagi.

Sukan floorball pada asalnya dimainkan oleh pemain hoki ais Sweden pada tahun 1970 ketika mereka sedang berehat daripada kejohanan tersebut.

Mereka mencipta permainan tersebut bagi memastikan tahap kecergasan dapat dikekalkan selain menjadi satu bentuk latihan persediaan bagi menghadapi kejohanan pada musim seterusnya.

Sehingga tahun 2008, Persekutuan Floorball Antarabangsa (IFF) dan sukan floorball telah diiktiraf oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Bagaimanapun, sukan ini difahamkan masih belum diiktiraf oleh Kementerian Belia & Sukan (KBS) sebagai acara yang dipertandingkan dalam temasya SUKMA sehingga kini.

Source: Buletin Mutiara