Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

BUKIT TAMBUN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata pihaknya berharap projek pemajuan gelanggang futsal dengan kos RM269,913.47 yang telah siap dibina di Taman Merak dekat sini dapat meningkatkan lagi kualiti hidup dan persekitaran sihat penduduk lokal.

Beliau berkata demikian sebelum menyaksikan acara penyerahan kuasa pengurusan kemudahan awam tersebut oleh Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Marlia Mohd. Belia kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Merak, Gavin Ferdinand Keun di sini pada 8 Mac 2021.

“(Sejak tahun 2012) sehingga 2020 (enam) gelanggang futsal telah dibina di Daerah SPS iaitu di Kampung Sungai Keching  dengan kos RM97,000 pada tahun 2012; Pekan Sungai Acheh (RM109,200: 2012); Padang Awam Jawi (RM150,000: 2014); Sungai Duri (RM137,620.33: 2016); Simpang Tiga Sungai Acheh (RM377,936.40: 2019) dan terbaru di Taman Merak (RM269,913.47: 2020).

“Ini menjadikan keseluruhan peruntukan untuk projek-projek pembinaan gelanggang futsal adalah sebanyak RM1,141,670.40.

“(Dan) dengan adanya kemudahan sukan ini, bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada golongan belia, bahkan semua gender yang lain,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal sebelum menyempurnakan acara perasmian Gelanggang Futsal Taman Merak pagi ini.

Sebelum pada itu, ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang atas pembinaan gelanggang futsal yang pertama di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) berkenaan.

“Adanya gelanggang futsal yang pertama di KADUN Bukit Tambun ini, diharapkan dapat memangkin ke arah gaya hidup sihat dalam kalangan golongan belia tempatan, di samping mengelakkan mereka daripada terjerumus dalam aktiviti gejala sosial yang tidak sihat,” jelasnya yang turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperbanyak acara kejohanan sukan di peringkat KADUN.

Source: Buletin Mutiara