Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

PENANTI – Tiga empangan dan sebuah taman rekreasi bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan dibuka semula kepada orang awam mulai esok (26 Februari 2021).

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata bahawa keputusan tersebut dibuat hasil daripada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diadakan pada Selasa lalu.

Katanya, pembukaan semula empangan dan taman rekreasi itu adalah selaras dengan pengumuman oleh Kementerian Belia dan Sukan bahawa aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan kini adalah dibenarkan.

Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang Sukan Untuk Semua | Pejabat EXCO Belia Dan Sukan Pulau Pinang

“Kita (Kerajaan Negeri) menerima pertanyaan daripada penduduk di negeri ini berkenaan pembukaan semula Empangan Mengkuang, Empangan Air Itam, Empangan Teluk Bahang dan Taman Rekreasi Bukit Dumbar untuk tujuan riadah.

“Justeru, kita setuju membuka semula keempat-empat lokasi ini kepada umum untuk tujuan riadah dari jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke Empangan Mengkuang, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua serta wakil-wakil PBAPP.

Walau bagaimanapun, Lip Chee menasihati orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti mematuhi had kemasukan, mengekalkan jarak fizikal, melakukan pemeriksaan suhu badan dan mengimbas aplikasi MySejahtera.

“Had kemasukan di Empangan Mengkuang adalah 350 orang pada satu-satu masa, manakala tiga lagi empangan adalah 200 orang,” jelasnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Selain empangan dan taman rekreasi, difahamkan bahawa stadium juga telah dibuka kepada orang ramai mulai 22 Februari lalu.

Dalam pada itu, Harry Chai meminta orang ramai agar memulakan latihan ringan terlebih dahulu supaya badan dapat menyesuaikan diri.

“Sekarang cuaca panas, jadi perlu banyakkan minum air semasa beriadah selain mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan,” ujarnya ringkas.

Source: Buletin Mutiara

https://www.buletinmutiara.com/empangan-dan-taman-rekreasi-seliaan-pbapp-dibuka-semula-mulai-esok/?fbclid=IwAR0NNHiFOO6v7S-wLe0YiLn3SGGFx87o_7cC1flc_cwpflvG2xrU9xUkhbY