Beregu Lelaki Ke Separuh Akhir

PETALING JAYA: Aaron Chia-Sooh Wooi Yik akhirnya menamatkan badi kekalahan 0-7 kepada Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon apabila menewaskan pasangan No. 1 dunia dari Indonesia itu untuk mara ke separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebentar tadi.

 

Dalam aksi di Musashino Forest Sport Plaza itu, pasangan utama negara bermain dengan tenang seawal set pertama dengan menyerap segala tekanan yang diberikan sebelum mencatat kemenangan 21-14, 21-17.

 

Kevin Sanjaya sekali lagi gagal mengawal keadaan apabila kerap melakukan kesilapan mudah selain kelihatan tidak tenang seperti kebiasaan dalam mana-mana kejohanan.

 

Pemain itu juga kelihatan hilang kawalan dan membaling raket di lantai hingga menyebabkan konsentrasi mereka terganggu pada pertengahan set kedua.

 

Ini adalah kejutan besar kedua dalam sukan badminton selepas pemain No.1 dunia, Kento Momota dari Jepun  tersingkir pada peringkat kumpulan perseorangan lelaki malam tadi.

 

Sementara itu, cabaran Malaysia dalam badminton akan diteruskan oleh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia yang bakal menentang juara bertahan, Chen Long pada pusingan 16 akhir petang ini.

 

Perlawanan dijangka berlangsung pada pukul 5.45 petang.

 

Sumber: Utusan Malaysia