GEORGE TOWN – Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa tujuan Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Bantuan Pengurusan dan Pentadbiran (SBPP) adalah untuk meningkatkan kualiti pentadbiran dan pengurusan persatuan-persatuan sukan di Pulau Pinang.

Menerusi skim tersebut, beliau memberitahu bahawa Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) akan menilai 10 perkara serta memberi pemarkahan kepada persatuan-persatuan sukan meliputi Kategori A,B,C dan D.

“Bagi persatuan Kategori A, peruntukan dana sebanyak RM20,000 akan disalurkan kepada persatuan sukan tersebut, (sementara) bagi Kategori B, dana RM10,000 akan disalurkan.

“Manakala, Katergori C RM5,000 akan diberikan dan tiada peruntukan akan diberikan sekiranya persatuan tersebut mendapat pemarkahan bagi Katergori C.

“Sebagai Exco Belia dan Sukan, saya percaya bantuan peruntukan ini akan dapat membantu dari segi peningkatan kualiti, keberkesanan dan (tahap) keaktifan 48 persatuan yang bernaung di bawah MSNPP,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal dalam satu sidang media di Komtar pada pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua dan pegawai-pegawai bagi majlis sukan negeri berkenaan.

Sebelum ini, jelas Lip Chee, persatuan-persatuan sukan hanya diperuntukan bantuan dana pembangunan sukan yang berasaskan kepada pencapaian dan prestasi atlet serta penglibatan dalam Sukan Malaysia (SUKMA).

Untuk tujuan SBPP, jelasnya lagi, MSNPP memperuntukkan RM960,000 iaitu peruntukan maksimum sekiranya 48 persatuan sukan berjaya mencapai Katergori A.

Heng Hua dalam sidang media tersebut memberitahu bahawa antara kriteria penilaian yang akan diambil kira adalah maklumat asas, penglibatan persatuan dalam program anjuran MSNPP, pengurusan mesyuarat, program pembangunan atlet dan kejohanan dalaman persatuan.

Di samping itu, beliau menjelaskan bahawa aspek program kejurulatihan, program pegawai teknikal, data atlet persatuan, data jurulatih persatuan dan data pegawai teknikal persatuan turut akan dilihat untuk proses pemarkahan kelak.

Difahamkan, penilaian dan proses pemarkahan akan bermula pada bulan Disember 2020 sehingga November 2021, dan SBPP akan dibayar pada Disember tahun hadapan.

“Sekiranya SBPP ini berjaya mencapai tahap yang diinginkan, mungkin kita akan memohon tambahan dana dari Kerajaan Negeri untuk SBPP di tahun berikutnya,” kata Heng Hua.

Source: Buletin Mutiara

https://www.buletinmutiara.com/pulau-pinang-perkenal-skim-bantuan-sehingga-rm20000-demi-tingkatkan-kualiti-pengurusan-persatuan-sukan/?fbclid=IwAR3qeg4W5SF0apW6ytZQqsohRt6tekUOdBAtnnyA3Per5KAevxqJ-wv15C8