BATU UBAN – Persiapan atlet-atlet Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang bagi temasya dwi tahunan itu kini berada pada tahap 80 peratus, maklum Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Katanya, baki 20 peratus tersebut adalah disebabkan faktor atlet yang tidak dapat berlatih secara penuh berikutan kekangan tinggal di asrama dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP).

“Sebenarnya persiapan SUKMA sudah bermula selama setahun setengah iaitu selepas tamat SUKMA Perak tahun 2018 sehinggalah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, sekaligus menyebabkan semua latihan tergendala.

“Jadi selepas PKP dilonggarkan pada bulan Jun 2020, kita mula menggerakkan latihan secara berfasa membabitkan sukan yang tidak bersentuhan, berpasukan secara berperingkat.

“Disebabkan beberapa kekangan akibat pandemik (COVID-19) ini, kita tidak boleh masuk sekolah, atlet dari sekolah ada yang tidak dibenarkan keluar, kekangan tersebut menjadikan persiapan kini cuma 80 peratus,” ujar Heng Hua dalam satu temu bual khas berhubung persiapan SUKMA semalam bertempat di MSNPP di sini.

Rentetan itu, arahan telah diberikan agar atlet terlibat yang berada di sekolah untuk berlatih secara sendirian dengan pemantauan dan arahan jurulatih melalui dalam talian.

Menyentuh mengenai tarikh SUKMA, persiapan kini berbaki kira-kira enam bulan di mana temasya kebangsaan tersebut dijangka akan berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 di Johor Darul Takzim.

“Walau bagaimanapun, tarikh tersebut juga belum dimuktamadkan kerana tarikh tersebut cuma dipersetujui oleh Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

“Ianya dipersetujui tetapi bukan secara rasmi lagi, ini berikutan perlunya melihat kepada situasi pandemik COVID-19 pada tahun hadapan.

“Pada asalnya SUKMA kali ini sepatutnya dianjurkan pada Julai lepas, namun akibat pandemik COVID-19 ianya terpaksa ditunda,” ujarnya yang dilantik menjawat jawatan Pengarah MSNPP pada November lalu menggantikan Frederick Tan Tek An.

Menyentuh mengenai sasaran SUKMA Johor kali ini, Heng Hua memaberitahu pihak MSNPP akan cuba sedaya upaya untuk memperbaiki pancapaian SUKMA Perak 2018.

Jelasnya pada SUKMA Perak, kontinjen Pulau Pinang berada pada tangga ketujuh secara keseluruhannya dengan pungutan pingat 32 emas, 30 perak dan 31 gangsa.

“Kita perlu dapatkan lebih daripada 32 pingat emas sebagai sasaran, selain itu kita sasarkan untuk berada pada kedudukan lima teratas berbanding ketujuh ketika dua tahun lalu.

“SUKMA Johor kali ini akan mempertandingkan 31 jenis acara sukan dan daripada jumlah itu lima jenis sukan belum melepasi had kelayakan yang ditetapkan oleh MSNPP.

“Baki sukan yang belum layak adalah bola jaring, ragbi, bola keranjang, kriket dan bola tampar pantai,” jelas beliau.

Tambah beliau, terdapat beberapa sukan yang menjadi tradisi kepada pasukan Pulau Pinang yang berpotensi sebagai ‘lubuk emas’ buat kontinjen negeri.

“Antara sukan yang dilihat mempunyai harapan adalah memanah, karate, judo, wushu, renang, gimnastik, silat, sepak takraw dan badminton.

“Tetapi kita terpaksa mengenepikan Goh Jin Wei (jaguh perseorangan badminton wanita negara) kerana perlu menyertai terbuka Malaysia dan kita meletakkan kepentingan kepada negara dahulu,” katanya lagi.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan bahawa sukan-sukan lain akan memberi kejutan dengan menjadi penyumbang utama pingat kepada kontinjen.

Untuk mengejar keududukan terbaik, seperti diketahui sesebuah kontinjen perlu menguasai acara olehraga yang menawarkan kira-kira 40 pingat emas.

Dalam memperkemaskan persiapan skuad olahraga, Heng Hua berkata bahawa jawatan jurulatih telah dipertanggungjawabkan kepada bekas dua atlet veteran yang pernah layak ke olimpik suatu ketika dahulu iaitu K. Tambusamy dan PLBS Payadesa secara separuh masa.

“Sumbangan dan ilmu daripada atlet veteran ini amat ditagih dan rugi sekiranya kita tidak menggunakan khidmat mereka yang berjaya menghasilkan kejuaraan sebelum ini.

“Sekarang memang saya beri keutamaan kepada pembangunan sukan olahraga dengan pengambilan dua jurulatih asing dan lapan tempatan,” ujar Heng Hua menutup temubual tersebut.

Source: Buletin Mutiara

https://www.buletinmutiara.com/persiapan-sukma-capai-80-peratus-mnspp-tumpu-pembangunan-olahraga/?fbclid=IwAR1z6KgXqykEZujxVsfiU6yNOO_qCGv6wE9el9CPSyPlt-fKFejlgCVpF6U